Bahasa Melayu Sebagai Bahasa
Kebangsaan
Perkara 152,
Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa
Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak
menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan
dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Kewujudan
Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa
perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu
dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh
Parlimen: Dengan syarat bahawa
(a) tiada
seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi
maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain
(b) tiada
apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak
mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian
bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1),
selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga
diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam
kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi
segala maksud rasmi yang lain.
(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1),
selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga
diperuntukkan selainnya oleh Parlimen
(a) segala Rang
Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan
di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen
(b) segala Akta
Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan
Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1),
selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga
diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah
Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa
Inggeris dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak
bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak
perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.
(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1),
sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam
mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa
Inggeris.
(6) Dalam Perkara ini, "maksud
rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau
Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
No comments:
Post a Comment